Thursday, August 6, 2009

ERTI CINTA SUCI???

CINTA KERANA ALLAH!!!
Hari ini ingin kupaparkan perbicaraan "CINTA KERANA ALLAH". Ku kongsikan ilmu ini berdasarkan ilmu yang kuperolehi, ku pelajari dan kufahami melalui pembacaan, pengalaman dan pendidikan. Tertarik minat yang mendalam untuk menulisnya untuk tatapan dan perkongsian kepada semua terutama padamu wanita yang masih mencari pasangan bagi melahirkan sebuah "CINTA KERANA ALLAH".
Sahabatku, hubungan cinta yang kita bina, hendaklah cinta itu didasarkan kepada CINTA ALLAH. Maksudnya di sini, cinta yang kita berikan kepada seseorang individu hanyalah semata-mata kerana mengharapkan KEREDHAAN ALLAH. Mengapa? Allah memberi dan mencampakkan kita fitrah itu (ingin dikasihi dan mengasihi. Ingin dicintai dan mencintai) lalu kita niatkan dan gunakanlah rasa fitrah itu untuk menghampirkan diri kepadaNYA. Bercintalah dengan sesiapa sahaja yang berkenan di hati. Tetapi pastikan cinta itu lebih memudahkan dan membawa kita mencintai Allah.
Kadangkala kita mengharapkan cinta yang dibina kerana Allah, atau ungkapan yang sering diungkapkan "kami bercinta kerana Allah". Namun, ramai yang masih keliru atau tidak pasti. Bagaimana bercinta kerana Allah? Apa maksudnya? Bagaimana kita mengetahuinya? Bagaimana kita ingin membuktikannya? Persoalan demi persoalan timbul. Sebenarnya, jika dalam membina perhubungan cinta, kita sering bertanya tentang persoalan-persoalan ini, Bagi saya, itu satu petunjuk yang baik kerana anda ingin menjadikan hubungan cinta itu ke arah jalan yang benar. Bercinta kerana Allah, jawapannya ialah iringilah hubungan cinta itu dengan NIAT UNTUK BERNIKAH secara sah kerana pernikahan itu lebih memudahkan seorang lelaki atau wanita menyempurnakan agamanya. Sebagaimana sabda nabi saw yang bermaksud; " Apabila seseorang itu berkahwin , sempurnalah separuh agamanya, tinggal lagi separuh untuk disempurnakannya".
Justeru itu, sahabatku wanita usahlah bercinta dengan niat sekadar untuk bersuka-suka atau tidak serius. Jika tidak, janganlah bercinta dahulu. Tangguhkanlah niat tersebut kerana itu jalan yang lebih terbaik. Bermujahadahlah melawan hasutan nafsu dan bisikan-bisikan syaitan. Katakanlah pada diri, "Aku hanya tertarik atau minat padanya". Simpan dan pendam perasaan itu dalam jiwa sedalam-dalamnya. Jangan sekali-kali diluahkan kerana itu hanya mengundang reaksi yang tidak baik. Tetapi sahabatku, sekiranya "orang di sebelah sana (orang meminatimu)" mengatakan serius untuk bercinta denganmu??? Saya yakin dan percaya anda pasti akan menyuarakan soalan sebegini, bagaimana pula? Jawapannya sangat mudah. Jangan bercinta kerana kasihan, kerana jika bercinta kerana kasihan , anda akan merosakkan diri anda dan orang yang kasihkan atau ingin memiliki hati anda!
CINTA dengan KASIHAN amat besar perbezaannya. Bagaimana? Ini kerana anda hanya wujud perasaan SIMPATI dengan orang yang menyintai anda, tetapi anda sukar untuk mencintai orang yang anda kasihankan atau simpati. Lebih menyedihkan lagi, apabila anda ada niat jahat atau tidak ikhlas dalam bercinta sama ada didorong oleh hasutan nafsu atau sekadar SUKA-SUKA seperti mengibaratkan cinta itu sebagai "spare" tayar, manalah tahu kalau-kalau suatu hari nanti diperlukan. Sehinggakan, kita merasa ghairah untuk bercinta.
Jika bercinta tidak ada niat untuk bernikah, hanya saja-saja atau suka-suka, pasti cinta itu bukan kerana Allah. Hakikatnya, cinta itu adalah cinta terlarang yang membawa kepada kemusnahan pada sebelah pihak atau diri anda sendiri. Pastikanlah cinta yang dijalin adalah cinta yang tidak melanggar peraturan SYARIAT. Pastikanlah hubungan cinta itu tidak membawa kita terjerumus dalam perkara yang melalaikan dan merugikan. BERCINTALAH ATAS DASAR KERANA ALLAH, PASTI HUBUNGAN ITU MEMBAWA KITA LEBIH MENGENALI SIFAT PENCIPTA KITA. DAN SITU PASTI TERBINA CINTA YANG HAKIKI.
Pedoman Hidup:
" Apabila peribadi yang baik diperkuatkan dengan CINTA SEBENAR, tenaganya akan menguasai alam semesta. Kerana di situ tenaga-tenaga positif akan terpancar keluar".

1 comment:

  1. salam,
    jadikan cinta umpama nafas, tak boleh hidup tanpanya; namun kita tidak memikirkannya. sedutan dan hembusan nafas begitu ringkas dan ringan; namun kesannya meresap ke setiap sel darah di seluruh tubuh. cinta, jika benar kerana Allah, maka Allah yang memperkuatkannya dan memeliharanya.

    ReplyDelete